Friday, October 24, 2008

Assalamualaikum...

Salam bidayah...
Menjadi tugas seorang suami mendidik dan memimpin isteri ke jalan yang terbaik yang menghampiri kesempurnaan hidup selaku hamba dan khalifah. Kadang kala tugasan itu tidak mampu dijalankan akibat kesibukan kerja, kekangan lain-lainnya yang mengganggu hidup ini. Sudah pasti, bagi diri ini, sedaya yang mampu akan kucuba juga untuk melaksanakannya walau terpaksa menggunakan laman ini.

Isteriku,
Sebagai seorang insan, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan demi kesilapan. Siapapun dia, tetap akan melakukan kesilapan. Pernah dilaporkan bahawa Rasulullah SAW juga cenderung untuk melakukan kesilapan semasa masa mudanya, tetapi baginda dipelihara oleh Allah, lalu Allah menidurkan Baginda ketika Baginda ingin melakukannya. Kita bukanlah Rasulullah, malah jauh untuk dibandingkan dengan para sahabat Baginda.

Kesilapan bukanlah untuk dibanggakan. Ia bukan juga untuk dikesalkan. Namun ia perlu dijadikan pengajaran dan pedoman. Kesalan hanya akan membawa kepada putus asa, sedangkan Allah sentiasa bersama dengan kita. Putus asa hanyalah mainan syaitan yang mahu menjatuhkan kita ke dalam lembah kecelakaan. Apabila kita mula berputus asa, maka kita akan berhenti berusaha, dan akhirnya kita akan tergolong di dalam golongan yang celaka.

Sedikit kesalan masih boleh diterima, tetapi janganlah menjadikannya penghalang untuk menjadi seorang yang lebih baik pada esok harinya. Diri ini ingin berpesan bahawa teguhkanlah peganganmu dengan agama. Jadikanlah agama sebagai pedoman hidup. Alquran, janganlah hanya sebagai bacaan kosong. Dalamilah ia seperti kamu mendalami novel yang penuh dramatik, yang memberikan kesan kepada hatimu. Jatuhkanlah egomu ketika berhadapan dengan diri ini. Patuhilah diri ini seperti kamu mematuhi Allah, selagi mana diri ini tidak menyerumu ke arah kufurkan Allah. Walaupun dirimu mempunyai pendapat sendiri, buangkanlah pendapatmu itu jauh-jauh dan gunakanlah pendapat diri ini jika ia baik untukmu, dan sudah pasti pendapatku adalah yang terbaik untuk kita...

Isteriku...
Mendirikan rumah tangga bukanlah seperti melepaskan batuk di tangga. Rumah tangga perlu diisi dengan rasa takwa kepada Allah. Rumahtangga kita perlu kita budayakan dengan perkara berikut:

1) Solat berjemaah
2) Tazkirah selepas solat
3) Bacaan Quran
4) Makan bersama
5) Aktiviti kemasyarakatan, usrah, kuliah, dsb.

Isteriku,
Sebagai batu asasnya, suamimu ingin mengabadikan coretan hati ini ke dalam laman blog kita ini. Suamimu akan memasukkan input-input berguna ke dalam laman blog ini sebagai rujukanmu. Insyaallah, suamimu akan membudayakannya, setiap minggu akan ada lampiran baru yang akan dimasukkan. Jadikanlah laman ini sebagai usrah kita, ataupun sebagai rujukan utama untuk membentuk asas rumah tangga kita yang kukuh...


Daripada,
Suamimu...